Monday, June 19, 2017

~ Resipi Biskut Oatmeal Cornflakes...

Sheery Dream Cakes | 1:38 PM |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah.. Hari ini diberi peluang bersiaran kembali bersama resipi biskut Oatmeal Cornflakes. Biskut ini Diana olah dari resipi Cowboy Cookies. Cowboy cookies bukan sahaja biskut kegemaran kami seisi keluarga, malahan ianya turut digemari oleh tetamu yang bertandang ke rumah Diana pada hari raya setiap tahun. Disebabkan anak-anak suka makan cornflakes, Diana cuba olah resipinya kepada biskut Oatmeal Cornflakes. Alhamdulillah.. Anak-anak suka. 

Kekacang merupakan salah satu bahan yang terkandung di dalam biskut ini. Jadi, anda boleh pilih jenis kekacang yang diingini mengikut kegemaran masing-masing. Jika anda suka makan badam, bubuhlah cincangan badam dan begitulah seterusnya ya. Baiklah, apa kata kita semak resipi biskut ini.


BISKUT OATMEAL CORNFLAKES

Bahan-Bahan
  • 350 gm tepung gandum
  • 265 gm mentega
  • 200 gm gula kastor
  • 190 gm gula perang
  • 320 gm oats
  • 1 1/4 tsp garam
  • 1/2 tsp soda bikarbonat
  • 1 tsp baking powder
  • 2 biji telur + 1 biji kuning telur
  • 2 tbsp susu segar
  • 1 1/2 tsp esen vanilla
  • 70 gm Nestle honey gold flakes _ dihancurkan sedikit
  • 450 gm coklat masakan _ dicincang kasar
  • 85 gm biji gajus panggang _ dicincang kasar
  • 45 gm kacang pistachio _ dicincang kasar
  • Sedikit Nestle honey gold flakes _ dihancurkan sedikit ( untuk hiasan )

Cara-Cara
  1. Panaskan oven pada suhu 180°C. Lengserkan dulang pembakar dengan sedikit mentega dan taburkan sedikit tepung atau lapik dulang pembakar dengan kertas minyak. 
  2. Ayak tepung bersama garam, baking powder dan soda bikarbonat. Ketepikan.
  3. Pukul mentega bersama gula perang dan gula kastor sehingga kembang dan gebu.
  4. Masukkan telur dan pukul lagi sehingga pekat.
  5. Masukkan susu segar dan esen vanilla. Pukul sebati.
  6. Kemudian masukkan bahan-bahan  yang diayak tadi dan pukul hingga sebati.
  7. Masukkan cornflakes, oats, coklat masakan cincang, kacang pistachio dan biji gajus. Gaul menggunakan spatula sehingga rata.
  8. Dengan menggunakan 2 batang sudu teh, ambil sesenduk penuh adunan ( kurangkan setengah sudu adunan jika inginkan biskut yang lebih kecil ) dan letakkan di atas dulang pembakar. Jarakkan antara adunan itu. Tekan sedikit biskut dan taburkan sedikit cornflakes di atasnya.
  9. Bakar di dalam oven selama 12 - 15 minit atau sehingga ianya masak.
  10. Keluarkan dari oven dan simpan di dalam balang setalah ianya sejuk.

:: NOTA ~
  • Anda boleh tukar biji gajus dan kacang pistachio kepada jenis kekacang yang diingini mengikut kegemaran masing-masing.
  • Biskut ini crispy di tepinya tetapi chewy dan moist di tengahnya jika kita bentukkannya besar-besar ya. Sekiranya anda ingin hidangkan biskut ini untuk hidangan di hari raya, seeloknya bentukkannya kecil-kecil dengan menggunakan 1/2 sudu teh dan bakar sehingga keseluruhan biskut garing.




1 comments:

adda syuhada said... Reply

Mengancam pula nengok biskutnya..