Sunday, June 4, 2017

~ Resipi Nasi Minyak, Daging Kurma & Acar Timun Mentah...

Sheery Dream Cakes | 12:57 PM | | |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Terima kasih kepada semua yang masih sudi berkunjung ke blog Diana ni. Moga semuanya sentiasa di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Hari ni resipi yang ingin dikongsikan ialah resipi Nasi Minyak, Kurma Daging ( ulang tayang ) dan Acar Timun Mentah ( ulang tayang ). 

Untuk resipi Nasi Minyak ni, Diana ambil dari blog Akak Ayu. Terima kasih buat akak Ayu dan tuan punya resipi Nasi Minyak ni. Izinkan Diana panjangkan resipinya di sini ya. Terima kasih. 


NASI MINYAK
:: Sumber Dari ~ Akak Ayu @ Curlybabe's Satisfaction  ( TQ ) 

Bahan-Bahan
  • 5 cawan beras basmathi _ cuci bersih, rendam 30 minit dan toskan
  • 5 cawan air
  • 2 helai daun pandan _ disimpul
  • 5 biji buah pelaga
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 1 cm kayu manis
  • 1 biji bawang besar _ dimayang
  • 2 biji lada hijau _ dibelah 2 tapi jangan sampai putus
  • 1 sudu makan halia kisar
  • 1 sudu makan bawang putih kisar
  • Segenggam daun pudina
  • 5 sudu makan tairu
  • 5 sudu makan susu cair
  • 5 sudu makan minyak ghee atau minyak canola _ ( Ayu guna 3 sudu makan minyak ghee + 2 sudu makan minyak biasa )
  • Garam secukup rasa 
  • Serbuk perasa _ ( Ayu tambah ) Diana gantikan dengan kiub pati ayam
  • Pewarna kuning atau sedikit serbuk kunyit dibancuh dengan sedikit air

Cara-Cara
  1. Panaskan minyak ghee atau minyak canola di dalam periuk nasi eletrik.
  2. Tumis daun pandan sehingga wangi.
  3. Masukkan buah pelaga, bunga cengkih dan kayu manis. Tumis sehingga meletup-letup.
  4. Masukkan bawang, lada hijau dan tumislah sehingga bawang layu.
  5. Masukkan halia, bawang putih kisar serta daun pudina dan tumis lagi sehingga naik aromanya.
  6. Tuangkan tairu dan masak selama 5 minit. 
  7. Tuangkan air, susu dan taburkan garam serta sedikit perisa / kiub ayam. Masaklah sehingga mendidih.
  8. Kemudian, bolehlah dimasukkan beras yang telah ditos. Kacau rata dan masaklah seperti biasa.
  9. Apabila nasi sudah masak, renjiskan di atasnya dengan pewarna kuning atau air kunyit dan perlahan-lahan kacau dengan garpu.

:: Panduan ~
  • Jika menggunakan beras basmathi, hendaklah dicuci bersih dan direndam selama 10-30 minit untuk mendapatkan nasi yang kembang dan lembut. Jika berasnya telah direndam terlebih dahulu, air yang digunakan haruslah mengikut paras beras. Jika berasnya tidak direndam, lebihkan sukatan airnya.
  • Nota Ayu ~ Ayu gunakan 6 1/2 cawan beras basmathi, direndam 30 minit tetapi tetap lebihkan sukatan airnya sedikit. Ayu guna 7 1/2 cawan air.

Nasi Minyak di atas serasi di makan bersama acar timun mentah. Alhamdulillah. Untuk resipi Acar Mentah ni, anda boleh klik DI SINI dan DI SINI untuk tengok entri yang lepas ya.


ACAR TIMUN MENTAH

Bahan-Bahan
  • 250 gm timun yang telah dihiris nipis
  • 1 tin nenas kiub 
  • 1/2 biji cili merah _ dihiris halus
  • 1/4 biji bawang besar _ dihiris halus
  • 1 biji bawang merah _ dihiris halus
  • 2 tbsp air nenas dalam tin
  • 2 tbsp cuka
  • 2 biji cili padi _ dicincang
  • Air gula secukupnya
  • Garam secukup rasa

Cara-Cara
  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk besar. Gaulkan sehingga rata.
  2. Hidang.

** Diana suka simpan acar timun mentah ini di dalam peti sejuk terlebih dahulu sebelum dihidang. 


Nasi minyak di atas Diana gabungkan juga bersama kurma daging. Resipi ni merupakan resipi ulang tayang. Dulu Diana juga pernah kongsikan di sini. Untuk tengok entri yang lepas, anda boleh klik DI SINI.

KURMA DAGING  

Bahan-Bahan
  • 1 kg daging _ dipotong kecil-kecil
  • 70 gm rempah kurma Adabi ( boleh dikurangkan mengikut citarasa masing-masing )
  • 2 biji cili merah _ dibelah dan buang bijinya
  • 2 biji bawang besar _ dibelah 4 
  • 2 inci kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 70 gm kerisik
  • 2 tbsp gula
  • 2 tbsp susu pekat
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit air panas
  • 200 ml santan pekat
  • Sedikit air asam jawa
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Bahan-Bahan Dikisar Halus
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 6 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 batang serai


Cara-Cara
  1. Campurkan gula, rempah kurma dan air panas. Gaul rata. Ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar sehingga terbit aromanya. 
  3. Masukkan campuran rempah kurma tadi. Tumis sehingga pecah minyak.
  4. Kemudian masukkan daging dan gaul rata. Tutup penutup periuk dan masak sehingga daging masak.
  5. Setelah itu, bolehlah dimasukkan santan pekat dan air secukupnya mengikut citarasa masing-masing.
  6. Tambahkan air asam jawa, susu pekat dan garam secukup rasa.
  7. Masukkan kerisik. Gaul dan masukkan pula bawang besar dan cili merah. Masak seketika.
  8. Angkat dan hidang.



0 comments: