Wednesday, July 5, 2017

~ Resipi Kek Kukus Lapis Horlicks Oatmeal...

Sheery Dream Cakes | 4:29 PM | |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah bersiaran kembali bersama resipi kek kukus pula untuk hari ini. Kek kukus ni Diana buat untuk jamuan rumah terbuka pada hari raya pertama tempoh hari. Baru hari ini berkesempatan kongsikan resipinya di sini. 

Di Labuan, kek kukus lapis merupakan kek yang biasa kita akan jumpa ketika beraya di rumah saudara mara atau kawan-kawan serta di rumah jiran tetangga. Ada bermacam-macam jenis kek kukus lapis terhidang di atas meja dengan pelbagai rasa dan warna. Untuk hari raya tahun ni, Diana buat resipi baru kek kukus dengan menggabungkan horlicks dan oatmeal. Rasanya? Hehehe.. Kena buat barulah tau kan. Apa-apa pun, seisi keluarga dan beberapa orang tetamu memberitahu yang kek ni sedap di tekak mereka. Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang sudi datang ke rumah di hari raya ini ya. Maaf Zahir & Batin sekiranya ada kekurangan semasa anda beraya di rumah Diana.

Baiklah, jom kita semak resipi kek kukus lapis ini.


KEK KUKUS LAPIS HORLICKS OATMEAL

Bahan-Bahan
  • 10 biji telur
  • 300 gm mentega Golden Churn
  • 120 gm minyak sapi
  • 1 cawan gula kastor
  • 1 tin kecil susu pekat manis
  • 1 tin sederhana seri kaya Yeo's ( 300 gm )
  • 1 cawan Nestle cerelac bijirin bayi ( gandum & madu )
  • 1 cawan instant oatmeal Quaker _ dikisar halus
  • 1 cawan biskut Hup Seng cream crackers yang telah dikisar halus
  • 150 gm horlicks
  • 80 gm haw flakes kisar


Cara-Cara
  1. Didihkan air kukusan sebelum mengukus kek dan tutup penutup pengukus dengan aluminium foil / tuala bersih semasa mengukus kek. 
  2. Asingkan putih dan kuning telur. 
  3. Pukul putih telur bersama gula kastor sehingga kembang. Ketepikan.
  4. Kemudian, pukul mentega bersama minyak sapi sehingga sebati.
  5. Masukkan kuning telur dan pukul hingga kembang.
  6. Setelah itu, campurkan adunan putih telur dan gula halus tadi. Pukul sebati.
  7. Masukkan susu pekat manis, seri kaya, cerelac, biskut cream crackers kisar, haw flakes kisar, instant oatmeal kisar serta horlicks. Pukul lagi hingga rata.
  8. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Warnakan adunan dengan warna pilihan pada setiap bahagian.
  9. Tuangkan satu adunan dan masukkan ke dalam loyang bersaiz 8" yang telah dialas dengan aluminium foil. Kukus sehingga kek masak.
  10. Setelah itu cucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester pada kek dan tekan dengan lembut dengan sudu plastik lembut. Lapis lagi dengan satu adunan warna berlainan dan kukus sehingga adunan kek masak.
  11. Buat begini sehingga adunan kek habis.
  12. Jangan lupa setiap kali kita membuat kek kukus, hendaklah dicucuk beberapa lubang dengan lidi halus / cake tester dan tekan secara lembut dengan sudu plastik sebelum melapis adunan seterusnya. 
  13. Untuk lapisan terakhir, masa mengukusnya hendaklah ditambah selama 30 minit supaya kek masak sekata secara keseluruhannya.
  14. Sejukkan dan simpan semalaman di dalam peti sejuk sebelum di potong dan dihidang.
  15. Masa untuk mengukus kek ini dalam 3 1/2 - 4 jam lamanya menggunakan api sederhana.





0 comments: